BBCC meterai perjanjian pajakan dengan Zepp Hall - Bukit Bintang City Centre

BBCC meterai perjanjian pajakan dengan Zepp Hall

2017-2

PROJEK Bukit Bintang City Centre memeterai perjanjian pajakan 20 tahun dengan Zepp Hall Network Inc. (Zepp Hall). – Foto Zelan Berhad

KUALA LUMPUR: Pemaju projek Bukit Bintang City Centre, BBCC Development Sdn Bhd (BBCC) memeterai perjanjian pajakan 20 tahun dengan Zepp Hall Network Inc. (Zepp Hall).
Ia bagi membina dewan konsert di bawah jenama Zepp yang menjadi hab hiburan dalam projek pembinaan bercampur itu.
Ketua Eksekutif BBCC, Datuk Richard Ong berkata pihaknya akan membina dewan konsert mengikut spesifikasi dan piawaian yang ditetapkan Zepp Hall.
“Dewan konsert itu dibina di dalam blok hiburan projek ini dan dijangka membabitkan pelaburan berjumlah RM100 juta. Ia dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2020.
“Ia mempunyai keluasan lebih 70,000 kaki persegi dan dijangka boleh memuatkan sehingga 2,500 orang. Ini adalah dewan konsert pertama yang dipajak Zepp Hall di luar Jepun,” katanya pada majlis memeterai perjanjian pajakan projek itu di Kuala Lumpur, semalam.
Hadir sama ialah Presiden Zepp Hall, Satoshi Senoo; Pengerusi Eco World Development Group Bhd (Eco World), Tan Sri Liew Kee Sin dan Pengarah Urusan Kumpulan UDA Holdings Bhd (UDA), Datuk Ahmad Abu Bakar.
Projek Bukit Bintang City Centre itu dijalankan oleh konsortium UDA, Eco World dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.
Zepp Hall adalah anak syarikat kepada Sony Music Entertainment Japan dan teras perniagaannya adalah mengendalikan lokasi konsert.
Ia turut memiliki dewan konsert di Tokyo, Sapporo, Nagoya dan Osaka.
Mengulas lanjut, Satoshi berkata pemilihan Kuala Lumpur dibuat kerana potensi yang ada pada ibu kota ini.
“Kami melihat ruang pertumbuhan dalam pasaran muzik di negara ini dan dengan perjanjian yang dimeterai, Zepp Hall akan menggunakan peluang yang ada untuk membawa masuk hiburan secara langsung daripada pemuzik Malaysia atau luar negara,” katanya.
Selain dewan konsert Zepp Hall, hab hiburan projek ini turut akan menempatkan panggung wayang, Malaysia Grand Bazaar dan dewan bankuet.